KLANG, 24 Ogos - Tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Selangor.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata, ia jelas membuktikan rakyat di negeri itu semakin peka dan prihatin terhadap perkara tersebut, sekali gus mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi.
"Setakat ini kita belum lagi mendapat sebarang laporan rasmi berkenaan pemasangan bendera secara terbalik. Alhamdulillah, ini bermakna rakyat Selangor peka tentang perkara ini.
"Paling penting, isu ini perlu diselesaikan secara perundangan tanpa dipolitikkan, kerana ia boleh membawa kepada isu perkauman dan perpecahan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negeri Selangor di sini.
Menurut Datuk Rizam isu tersebut tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu ditangani secara berhemah dengan mengikut saluran perundangan yang betul.
Pada masa sama beliau turut menyeru agar semangat perpaduan terus diperkukuh bukan sahaja menerusi penganjuran program tetapi melalui kesedaran dalam diri setiap rakyat di negara ini.
Terdahulu, beliau turut melepaskan Konvoi Merdeka melibatkan 56 buah kereta mengelilingi bandar Klang.