BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos - Sebanyak 24 kes campak dan rubella dilaporkan di Pulau Pinang sejak awal tahun ini, majoritinya melibatkan kanak-kanak yang tidak menerima imunisasi lengkap.
Justeru, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen menggalakkan ibu bapa mendapatkan imunisasi bagi anak-anak untuk mencegah penyakit tersebut.
“Setakat ini, kadar suntikan dos tambahan program Imunisasi Campak dan Rubella yang bermula pada 8 Ogos lalu telah mencapai sekitar 20 peratus daripada sasaran 65,500 suntikan.
Kita menyeru ibu bapa supaya segera membawa anak-anak ke klinik kesihatan kerajaan bagi mendapatkan suntikan percuma ini,” katanya.
Beliau menegaskan imunisasi tambahan hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan dan tidak disediakan di klinik swasta.
Daniel berkata demikian selepas menghadiri Program Merdeka Hike 2025: Fun Walk di sini.
Program disertai lebih 2,500 peserta terdiri daripada pengakap seluruh Pulau Pinang.