MACHANG, 24 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan hampir RM102 juta menerusi inisiatif Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) sejak ia diperkenalkan Januari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, jumlah itu melibatkan tiga kategori saman iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis 114 dan Notis 115.
“Bagi saman AwAS sahaja, ia merekodkan kutipan lebih RM95.3 juta melibatkan 635,294 notis. Notis 114 pula membabitkan 35,183 notis dengan kutipan RM5.2 juta, manakala Notis 115 sebanyak 8,266 notis bernilai lebih RM1.23 juta,” katanya.
Menurut beliau, bayaran saman dibuat melalui empat saluran utama iaitu kaunter JPJ, portal awam, kiosk dan aplikasi MyJPJ.
Datuk Jazmanie berkata orang ramai masih berpeluang menjelaskan saman tertunggak berikutan tempoh tawaran kadar rata itu dilanjutkan sehingga Disember depan.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera dan Topi Keledar sempena Operasi serta Program Semarak Kemerdekaan 2025 di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Labok, Machang.
Beliau menegaskan, selain penguatkuasaan undang-undang jalan raya, JPJ turut memikul tanggungjawab menyampaikan mesej kepentingan disiplin, keselamatan dan semangat patriotisme kepada masyarakat.