ARAU, 24 Ogos - Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta menunjukkan rasa bangga kepada tanah air.
Di Perlis, lebih 200 Jalur Gemilang disediakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pauh India untuk diedar dan dipasang pada kenderaan di laluan Kangar-Arau.
Penyelaras program Rozieana Ahmad berkata, penganjuran program berteraskan patriotisme yang melibatkan semua kaum, bangsa dan agama menjadi tunjang bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air serta memupuk sikap menghormati Jalur Gemilang, sekali gus memperkukuh perpaduan rakyat.
Menurut beliau, inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang merupakan lambang taat setia, kedaulatan, perpaduan dan semangat negara bangsa yang perlu dijulang serta difahami maknanya oleh setiap lapisan rakyat.
"Untuk rakyat mempraktikkan sesuatu sebagai warganegara untuk menunjukkan rasa kecintaan kepada Malaysia adalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
"Terus lahirkan rasa cinta kepada negara dengan apa cara sekalipun, tapi jangan lupa kibarkan Jalur Gemilang," katanya.
Bersempena program ini, turut diadakan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Memasak Bubur PAYASAM atau Bubur Manisan serta Kibaran Jalur Gemilang bersama lebih 50 penduduk.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.