fb fb fb fb fb

Kotak hitam helikopter mendarat cemas di Pulau Angsa dihantar ke Itali

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 29 April- Kotak hitam helikopter AW139 (M72-01) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor sudah dihantar kepada syarikat pengeluar di Itali.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kepakaran daripada syarikat pengeluar itu diperlukan bagi menganalisis maklumat yang tepat hasil rakaman kotak hitam berkenaan.

"Kita telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dan misi mencari kotak hitam dan telah pun ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah membuat keputusan untuk kotak hitam itu dihantar terus ke Itali kerana pesawat adalah keluaran negara itu.

"Mungkin mereka akan ambil sedikit masa dalam tempoh munasabah tetapi Maritim Malaysia akan memberi makluman oleh pihak berkenaan dari masa ke masa," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama-sama Warga Maritim Malaysia di sini.

Pada 5 Mac lalu, pesawat yang dikendalikan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama-sama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, Kuala Selangor ketika menjalani latihan menyelamat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan semasa pendaratan cemas itu dilakukan.

Sementara itu berkenaan seorang anggota Maritim Malaysia yang tercedera akibat ditembak ketika cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan di Lahad Datu, Sabah masih menerima rawatan.

Pada 7 April lepas, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Dalam kejadian itu, dua anggota agensi berkenaan cedera dalam insiden berbalas tembakan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi Kunak, Lahad Datu semasa Op Khas Pagar Laut.

Bagi Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan sempena Ramadan dan Syawal lepas, Maritim Malaysa menahan 175 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dan merampas barangan bernilai RM15 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI