SUBANG JAYA, 29 April - Sebanyak 40 pemain industri sektor peruncitan melaksanakan Program Jualan Ihsan RAHMAH (PJIR) di 2,770 lokasi di seluruh negara.
PJIR terus mendapat sokongan pihak swasta dan industri khususnya sektor peruncitan sejak dimulakan pada 23 Januari hingga 25 April lepas.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, pihaknya terus komited dan sentiasa menyokong usaha yang dilakukan untuk menyantuni rakyat tempatan dalam menangani isu kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
"Kita akan meneruskan program-program sedia ada namun sasaran saya untuk 2024 ini untuk jemput lebih banyak sektor industri untuk tampil membantu kerajaan dalam program-program yang boleh meringankan kos sara hidup rakyat," kata Armizan kepada media selepas merasmikan Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja 2024 di Mydin Subang Jaya, Selangor.
Kempen tersebut dilaksanakan bawah PJIR yang bermula hari ini hingga esok.
Tawaran adalah melibatkan barangan bayi dan kanak-kanak daripada pelbagai jenama itu bagi meringankan kos perbelanjaan ibu bapa dengan menawarkan diskaun, rebat dan hadiah percuma dengan jumlah keseluruhan RM800,000.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin.