fb fb fb fb fb

538 Taska tidak berdaftar, dikenakan tindakan - Nancy

Datuk Seri Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 29 April- 538 daripada 1,080 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang tidak berdaftar telah selesai dikenakan tindakan setakat 22 April lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan yang dikenakan termasuklah menghentikan operasi selain diberi notis peringatan atau kompaun.

Tindakan pemutihan dilaksana secara berperingkat bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat ditetapkan selain perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dalam proses itu, apabila pegawai kita pergi melawat taska dan mendapati mereka belum menepati syarat, kita akan kenakan tindakan atau penguatkuasaan undang undang.

"Tetapi pada masa sama tidak bermakna kita tidak akan mengenakan tindakan yang tegas. Namun sekiranya pengusaha tidak ambil peduli dengan notis yang diberikan, kita akan kenakan tindakan lebih tegas," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Hearts and Homes: Pelancaran Amal Aidilfitri Bersama SOMMNI dan PONEY di sini.

Bagaimanapun masih berbaki 542 taska yang sedang dalam tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan daripada pihak JKM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI