fb fb fb fb fb

Jalan Batang Kali-Genting Highlands akan dibuka semula pada 1 Julai

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan

BATANG KALI, 29 April - Laluan Jalan Batang Kali-Genting Highlands berhampiran kawasan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022 akan dibuka semula kepada semua pengguna jalan raya pada 1 Julai 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting yang masih ditutup bagi laluan orang awam untuk kerja pembaikan, kini telah siap 86.2 peratus.

"Maka saya ingin mengumumkan bahawa kontraktor yang dilantik iaitu Pintas Utama Sdn Bhd akan menyelesaikan kerja ini pada 30 Jun ini, masuk tapak ialah 29 Mei 2023 dan nilai kos ialah RM19 juta. Selama ini hanya satu laluan dibuka dan kepada mereka yang dapat kebenaran khas iaitu pekerja-pekerja di Genting yang mempunyai rumah di kawasan Batang Kali dan di kawasan Hulu Selangor.

"86.2 peratus siap maka lebih kurang 14 peratus belum siap dan 14 peratus yang belum siap itu antaranya 'guard trill' contohnya tentu la kita kena pasangnya di sini untuk pemandu perjalanan kereta, selain daripada itu 'wall system' itu tidak sempurna semuanya lagi," kata Ahmad Maslan kepada pemberita selepas meninjau kemajuan kerja projek baikpulih cerun berkenaan, di sini.

Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selepas tragedi tanah runtuh berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022 hingga mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 mangsa terselamat.

Pada Disember 2022, Kementerian Kerja Raya memaklumkan jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka ditutup selama setahun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh dilakukan.

TETITIA YUSOFF