fb fb fb fb fb

Kota Madani jadi contoh pembangunan bandar – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Jun-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan Kota MADANI di Putrajaya perlu dijadikan model rujukan bagi pelaksanaan pembangunan bandar di seluruh negara.

Beliau berkata, setiap perancangan pembangunan bandar tidak seharusnya hanya dipacu oleh kepentingan pemaju, sebaliknya perlu dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek kesejahteraan, keselamatan serta kepentingan rakyat.

“Saya mahu Kota MADANI ini dijadikan contoh kepada pembangunan semua bandar di negara kita. Kerajaan-kerajaan negeri perlu meneliti pendekatan ini, bukan sekadar menyerah kepada kehendak pemaju.

“Perancangan pembangunan mesti digerakkan oleh kerajaan. Pemaju boleh memberi pandangan, tetapi keputusan akhir tidak boleh semata-mata berdasarkan keuntungan.

“Saya akui, tiada pemaju yang akan melabur RM4 bilion tanpa mencari untung, namun projek mesti tetap memenuhi prinsip dan semangat MADANI,” katanya semasa Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memberikan kelulusan segera bagi pembinaan sekolah dalam kawasan projek berkenaan, termasuk cadangan sekolah menegak bagi menampung keperluan kawasan berpenduduk padat.

Beliau juga menggesa agar projek perumahan penjawat awam yang dirancang di bawah projek Kota MADANI dapat dipercepatkan pelaksanaannya, bagi mengurangkan tempoh menunggu yang terlalu lama dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD