IPOH, 7 September - Golongan T20 dan M40 kini semakin ramai mendapatkan rawatan di hospital awam berikutan peningkatan kos rawatan swasta dan premium insurans yang semakin membebankan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun sebelum ini kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi lebih banyak mendapatkan rawatan di hospital swasta melalui insurans atau bayaran sendiri, namun trend itu kini berubah apabila sebahagian daripada mereka memilih hospital awam, khususnya dalam kes kecemasan atau rawatan susulan yang memerlukan kos tinggi.
Beliau berkata, faktor utama yang mendorong perubahan tersebut ialah kenaikan kos insurans kesihatan yang menyebabkan ada antara golongan T20 dan M40 membatalkan polisi mereka, sekali gus menjadikan hospital awam sebagai pilihan alternatif.
“Sebab itu perlu ada kerjasama antara IDOS Insurance Takaful Organisation, Bank Negara, pihak swasta serta pengendali hospital swasta agar kita dapat meredakan 'medical inflation' di negara ini yang ketika ini jauh lebih tinggi berbanding kadar purata inflasi nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini menjadi tumpuan sebahagian golongan kenamaan dan T20.
Menurutnya lagi, walaupun hospital awam berfungsi untuk memberi perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, isu peningkatan pesakit daripada golongan berpendapatan lebih tinggi turut memberi cabaran kepada Kementerian Kesihatan dalam memastikan fasiliti dan tenaga kerja sedia ada dapat menampung keperluan.
Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Negeri Perak Parti Amanah Negara 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.