BAGAN DATUK, 7 September - Malaysia akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda timur negara itu pada Ahad lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan dengan sokongan perubatan daripada Kementerian Pertahanan.
"Saya akan memaklumkan kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim bin Hamzah untuk memobilisasi Pasukan SMART ke Afghanistan.
"Kita juga akan meminta bantuan daripada Kor Kesihatan Angkatan Tentera (ATM) setelah perkara ini dimaklumkan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Motivasi Desa@KEMAS KKDW Dan Program Bakti MADANI@KPT di Masjid Tuminah Hamidi di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan akan menghubungi Duta Afghanistan di Kuala Lumpur bagi membincangkan perincian penghantaran pasukan tersebut.
Selain itu, Malaysia juga akan bekerjasama dengan NGO tempatan yang berpengalaman mengendalikan misi banjir dan bencana alam, bagi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan.
Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud itu melanda timur Afghanistan sekitar tengah malam 31 Ogos lalu, disusuli beberapa gegaran susulan.
Setakat Khamis, agensi portal Afgghanistan Ariana News melaporkan angka korban telah melebihi 2,000 orang.
Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan memaklumkan gempa berpusat 27 kilometer timur laut Jalalabad, Nangarhar, mengakibatkan 2,205 maut dan 3,640 cedera.