fb fb fb fb fb

Kembar tiga sukarela sertai PLKN 3.0, kejar impian jadi askar

Muhammad Nuriman, Muhammad Nuramin dan Muhammad Nurnaim mendengar taklimat daripada jurulatih

PEKAN, 7 September - Pasangan kembar tiga memilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 secara sukarela demi meneruskan cita-cita mereka untuk bergelar anggota tentera.

Bagi Muhammad Nuriman, Muhammad Nuramin dan Muhammad Nurnaim Mohd Irwan, 20 tahun, penyertaan dalam PLKN merupakan langkah terakhir mereka selepas empat kali permohonan untuk menjadi askar ditolak kerana tidak memenuhi syarat ketinggian minimum.

Menurut Muhammad Nuriman, mereka bertiga hanya berketinggian 159 sentimeter, sedangkan syarat kelayakan yang ditetapkan ialah 162 sentimeter.

Bagaimanapun, minat dan semangat mereka tidak pernah luntur. Sebelum ini, ketiga-tiga beradik itu telah mengikuti Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 4/2025 Askar Wataniah selama sebulan pada Julai lalu, yang memberi pendedahan asas berkaitan disiplin, kawad, menembak dan ilmu hutan.

“Saya minat PLKN sebab pernah sertai kursus wataniah selama sebulan. Jadi bila masuk PLKN, saya nak belajar lebih mendalam lagi seperti menembak, kawad, ilmu hutan dan pelbagai lagi. Malah, saya nak tarik kawan-kawan supaya berminat dalam badan beruniform,” kata Muhammad Nuriman.

Mereka sebelum ini merupakan pelajar aktif dalam badan beruniform di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purajaya Presint 8 dan pernah mewakili sekolah ke pertandingan kawad di peringkat daerah.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka bertiga melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Komputer (Sistem) di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur dan berjaya menamatkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

“Asas-asas bomba, asas-asas JPJ, ikatan-ikatan bomba semua kami dah tahu. Malah sijil-sijil berkaitan juga sudah ada,” tambah Muhammad Nuramin.

Ketiga-tiga beradik itu ditemui pemberita selepas melaporkan diri di Kem 505, Pekan, Pahang hari ini. Mereka hadir bersama ibu bapa serta seorang abang yang turut memberikan sokongan moral.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE