TEMERLOH, 18 Jun- Lebih banyak koperasi disaran untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pengeluaran makanan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata ia bagi membantu mengurangkan kadar import bahan makanan negara.
Menurutnya, hanya 172 daripada 15,315 koperasi di seluruh negara terlibat dengan aktiviti pengeluaran makanan, walaupun sektor itu mendapat permintaan tinggi rakyat negara ini.
Gerakan koperasi digalak mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti pengeluaran makanan, tanpa bergantung kepada satu atau dua produk demi mendapat perolehan lebih tinggi.
"Pihak Angkasa insya-Allah akan bantu kerana dua hari lepas Angkasa menandatangani nota kerjasama dengan Jabatan Pertanian seluruh negara.
"Jadi kerjasama Angkasa dengan Jabatan Pertanian, kita lihat boleh menerokai bidang yang saya sebuatkan tadi kerana Jabatan Pertanian mempunyai kepakaran," katanya.
(Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70 Koperasi Guru Melayu Pahang Selatan Berhad (SEGUMPAS) di Dewan Tun Razak, di sini.
Berdasarkan statistik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, nilai import makanan negara boleh mencecah hingga RM100 bilion menjelang 2025, berbanding RM75.54 bilion pada 2022 dan RM63.59 bilion pada 2021.