PUTRAJAYA, 5 Julai - Koperasi yang bergiat dalam aktiviti agro makanan akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pinjaman daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam usaha mengembangkan penglibatan mereka dalam sektor berkenaaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, antara sektor makanan yang dititik beratkan adalah pertanian dan penternakan.
"Hal ini kita bagi keutamaan sebab kebanyakan koperasi ini yang sedang berjalan aktiviti agro makanan, waktu makanan, waktu mereka nak buat pinjaman pertama dulu, sebagai contoh dulu dia nak buat 10 reban ayam, pada masa itu dia terpaksa buat pinjaman, masa buat pinjaman mungkin dia kena letak dia punya collateral (cagaran), tanah jadi dia nak tambah lagi, jadi kalau dia pergi bank, mana dia ada cagaran lagi, sebab itu kalau bawah koperasi kita akan lihat berdasarkan projek yang sedang berjalan, mungkin kita tak perlu lagi lah letak cagaran," kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi KUSKOP 2022, di sini.
(Foto fail)
Noh turut memaklumkan, koperasi yang berminat untuk mendapatkan pinjaman tersebut tidak akan melalui proses yang rumit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 pada Sabtu lalu mengumumkan peruntukan RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan dan diletakkan di bawah SKM.