fb fb fb fb fb

Pembelian tepung gandum daripada Turkiye dipertimbang

ISTANBUL, 5 Julai - Malaysia meninjau kemungkinan membeli tepung gandum daripada Turkiye dalam usaha mempelbagaikan sumber import makanannya.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob langkah tersebut perlu, memandangkan dunia kini bergelut dengan kekangan bekalan, harga makanan yang melambung tinggi dan inflasi.

Pengeluaran gandum tahunan Turkiye adalah hampir 20 juta tan dan ia merupakan pengeksport bersih komoditi itu.

Ismail berkata menerusi proses memulihkan ekonomi, perang Rusia-Ukraine telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan makanan.

Kedua-dua negara tu menyumbang satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia, sementara India telah menghentikan eksport gandum mereka.

Ekoran kekurangan bekalan makanan, negara-negara akan berebut membeli produk makanan daripada negara sumber.

(Perdana Menteri berucap pada majlis makan tengah hari Keluarga Malaysia di sini)

"Maka akan berlaku kenaikan harga apabila bekalan semakin kurang. Kita bimbang sekarang kerana harga gandum semakin meningkat. Kita memberi subsidi kepada gandum dan sudah ada cadangan supaya harga gandum dinaikkan, tetapi kalau kita tidak naikkan, terpaksalah kita tambah subsidi dan setakat hari ini, kita tidak naikkan apa-apa, tetapi kita tambah subsidi," kata Ismail di sini.

Menurut Perdana Menteri, keselamatan makanan akan menjadi salah satu komponen utama perbincangan beliau bersama kapten-kapten industri Turkiye.

Beliau memulakan lawatan rasmi empat hari di Istanbul, sebelum ke Ankara untuk bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Media Baharu