fb fb fb fb fb

JKN Kedah bentuk pasukan pengawasan kesihatan persekitaran di tiga PPS Kupang, Baling

ALOR SETAR, 5 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melalui Pusat Kesihatan Daerah Baling membentuk pasukan pengawasan kesihatan persekitaran di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kupang, Baling sebagai langkah kawalan penyakit bawaan air dan makanan berikutan kejadian banjir kilat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo menerusi kenyataan memaklumkan pasukan itu akan melakukan pemeriksaan dan pengawasan secara berkala .

Katanya, pasukan berkenaan akan memastikan tahap kebersihan, kawalan lipas, lalat dan tikus, kawalan nyamuk serta keselamatan bekalan makanan di PPS sentiasa terjamin.

Selain itu JKN turut mewujudkan perkhidmatan klinik statik di semua PPS berkenaan melibatkan pegawai perubatan dan anggota paramedik dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam.


(Pusat pemindahan sementara (PPS) di Kupang, Baling yang dibuka berikutan kejadian banjir kilat)  

"Perkhidmatan atas panggilan pula disediakan antara pukul 10.00 malam hingga 8.00 pagi oleh Klinik Kesihatan Kupang bagi merawat kes-kes kecemasan.

"Manakala perkhidmatan kesihatan di Klinik Desa Iboi dan Klinik Desa Kampung Pisang dihentikan sementara hingga keadaan keselamatan, hubungan jalan darat serta bekalan elektrik dan air pulih," kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Setakat ini tiga PPS dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Jerai, Surau An-Nur, Taman Mesra Kupang dan SMK Agama Yayasan Khairiah.

Media Baharu