fb fb fb fb fb

FELCRA Berhad umum RM153 juta Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 1 kepada 75,800 pesertanya

PADANG TERAP, 5 Julai – FELCRA Berhad mengumumkan sejumlah RM153 juta bagi Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 1 kepada 75,800 pesertanya di seluruh negara tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu merupakan kenaikan 106% atau hampir RM79 juta berbanding tahun lalu.

"Prestasi yang dicatat oleh FELCRA Berhad adalah sangat membanggakan dan saya sememangnya menggalakkan agar FELCRA menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang lain agar dapat mengembangkan lagi perniagaan syarikat terutama dalam teknologi pertanian.

Ini sekali gus akan menambah dan meningkatkan lagi keuntungan operasi FELCRA dan seterusnya boleh memberikan pulangan pendapatan yang baik kepada seluruh peserta," kata beliau pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 FELCRA Berhad, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mad Roni Zakaria.

Menurut Mahdzir, bayaran keuntungan itu akan dibuat bermula hari ini secara berperingkat kepada semua 75,800 orang peserta FELCRA di seluruh negara.


(Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama peserta FELCRA Berhad yang menerima Bayaran Keuntungan
Boleh Agih Interim 1)

Jelas beliau, peningkatan prestasi Keuntungan Boleh Agih tahun ini adalah dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit dan getah.

Sehingga bulan April 2022, purata harga komoditi sawit adalah hampir RM1,200 iaitu kenaikan sebanyak RM550 atau lebih 79 peratus berbanding harga tahun lalu iaitu RM670.

Selain itu, berlaku juga kenaikan purata pendapatan ladang perhektar iaitu sebanyak RM4,900 atau hampir 57 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM3,100.

"Pencapaian utama FELCRA ialah berjaya menyatukan dan memulihkan tanah yang bermasalah menjadi sebuah ladang dan estet yang besar dan ianya harus dijadikan model dan contoh kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.

Inisiatif penyatuan dan pemulihan tanah bermasalah yang dilaksanakan oleh FELCRA itu dengan kos pengurusan minimum iaitu hanya 6.5% sahaja telah merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat di luar bandar," kata Mahdzir.

Media Baharu