fb fb fb fb fb

Konvokesyen UUM patuh SOP, hanya pelajar dibenarkan berada dalam dewan



SINTOK, 17 Februari- Majlis Konvokesyen ke 33, Universiti Utara Malaysia, UUM yang dijadual pada pertengahan bulan Mac ini akan dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Seramai 5,795 graduan bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-33 yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Mac ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya melakukan beberapa perubahan dan penambahbaikan bagi memastikan kelancaran majlis dan selari dengan SOP yang telah ditetapkan.

Antaranya, hanya pelajar sahaja akan berada di dalam dewan konvokesyen dan tiada ibu bapa atau waris bersama mereka.

"Dari segi penyerahan skrol ijazah tidak ada sentuhan fizikal, tetapi diletakkan di meja atau dulang untuk diambil oleh pelajar."

"Jadi kita minimumkan kontak itu sebaik mungkin dan masa yang sama juga kita juga pada dasarnya tidak mengundang jumlah yang besar kepada tetamu luar, melainkan dif-dif kehormat tertentu sahaja dan juga barisan yang berada di pentas pada ketika itu dikurangkan agar penjarakan sosial dapat dilakukan sebaik mungkin," kata Dr Haim.

 

( Prof. Dr Haim dalam sidang media di Sintok)

 


Bercakap di Sintok, beliau berkata, konvokesyen kali ini meraikan graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2020 dengan melibatkan 13 sesi iaitu 4,360 orang bagi Sarjana Muda dan 1,165 orang bagi pascasiswazah.


Daripada jumlah itu, 5,383 merupakan graduan tempatan dan 412 adalah graduan antarabangsa.


Sultan Kedah yang juga Tuanku Canselor UUM, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, akan menyampaikan titah ucapan secara dalam talian pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-33.


Profesor Dr Haim Hilman turut menjelaskan, pihaknya sedia mempertimbangkan semula pelaksanaan majlis konvokesyen sekiranya kes COVID-19 semakin meruncing.


Namun ia bergantung kepada nasihat MKN dan pihak yang berautoriti.

Media Baharu