KUALA LUMPUR, 17 Februari- Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka.
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19, 8 Februari lalu.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikemaskini berkuatkuasa bermula semalam dan akan menjadi penanda aras terhadap SOP pembukaan sempadan.
Berdasarkan kenyataan media oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, antara perubahan SOP tersebut ialah pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari ke-5, jika ujian RT-PCR pada hari ke-4, negatif.
Selain itu, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh melancong bersama ibu bapa yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi.
Penerbangan masuk melalui KLIA2 juga dibenarkan bermula 22 Februari 2022.
Datuk Seri Nancy juga berharap keputusan tersebut akan disambut baik oleh pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini.