fb fb fb fb fb

Empat fokus utama pastikan perkhidmatan awam kekal relevan

PUTRAJAYA, 17 Februari - Empat fokus utama perlu diberi penekanan dalam memastikan perkhidmatan awam terus kekal relevan, seiring pelbagai perubahan dan cabaran masa depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata setiap perubahan memerlukan pemangkin dan penjawat awam adalah pemangkin kepada perubahan itu.

"Untuk perkhidmatan awam menjadi organisasi yang terus kekal relevan, saya ingin mengajak semua penjawat awam untuk bersama-sama mencipta sejarah baharu berlandaskan empat fokus utama iaitu menyegar semula penjawat awam, landskap baharu organisasi awam, perkhidmatan awam kalis masa hadapan dan bergerak bersama ke hadapan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Khas Amanat Datuk Seri KPPA 2022, di sini hari ini.

Mohd Shafiq berkata penjawat awam perlu mempunyai daya ketahanan yang tingi, anjal, tangkas dan berinovasi. Sifat ini perlu dilengkapi dengan nilai integriti yang tinggi.

"Setiap pegawai perlu memupuk nilai-nilai positif yang berupaya menjadi inspirasi kepada pihak lain dalam pelaksanaan amanah dan tanggungjawab. Mereka juga diperingatkan untuk mengambil inspirasi daripada tokoh-tokoh yang ternama, termasuklah past experiences yang boleh mendorong kita meningkatkan usaha dan tadbir urus yang baik. Perkhidmatan juga perlu disampaikan dalam bentuk dinamik dan tidak rigid, di samping memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital selaras dengan inisiatif MyDigital," katanya.

Tambah Mohd Shafiq, organisasi awam perlu efisien dan efektif termasuk meneliti dan mengkaji dari segi saiz, struktur dan fungsi organisasi sedia ada. Ini bagi memastikan tiada pertindihan dan seterusnya perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat adalah optimum.

Ketua jabatan juga hendaklah sentiasa meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa.

"Fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan perkhidmatan dengan lebih berkesan berpaksikan objektif penubuhan organisasi itu sendiri," katanya.

Beliau turut menyarankan agar pembangunan pekeliling dan peraturan dilaksanakan dengan lebih berhemah dan menyeluruh, mengambil kira input dan pandangan terutama pemegang taruh peraturan berkenaan.

Tambahnya, penjawat awam perlu mengadaptasi semangat 'Keluarga Malaysia' yang inklusif di mana harus saling membantu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara.

"Sekiranya kita ambil sifat tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi, perkhidmatan awam akan terjejas dan kita sebenarnya telah culas melaksanakan amanah," katanya.

Media Baharu