fb fb fb fb fb

Kes kanser di negara ini meningkat, penyebab kematian kedua tertinggi selepas penyakit jantung

PUTRAJAYA, 17 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% merangkumi 115,238 kes bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011 dengan anggaran 1 daripada 10 lelaki dan 1 daripada 9 wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95% dan sebab kematian keempat di hospital KKM iaitu 11.56%.

"Kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital, baik KKM mahupun swasta. "Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada tahun 2020, apabila jumlah semua kematian akibat kanser digabungkan, ia menyumbang sebanyak 14.8% daripada keseluruhan kematian, menjadikan kanser sebagai penyebab kematian kedua penting selepas penyakit jantung Ischemic Heart Disease iaitu 17%," kata Khairy semasa berucap merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini.


Tambah Khairy, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar sebanyak 16.9%, diikuti kanser paru-paru 14.8% dan kanser prostat (8.1%). Manakala, dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara sebanyak 33.9% dikuti dengan kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%).

Sementara itu, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun menghidap penyakit tersebut adalah 11.0% untuk kanser paru-paru, 51.1% kanser kolorektal, 51.6% kanser serviks, 66.8% kanser payudara dan 73% kanser prostat.

"Tahap kanser semasa penyakit berkenaan dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser. Sebanyak 63.7% dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap III dan IV." kata Khairy.

(Khairy ketika berucap merasmikan Hari Kanser Sedunia 2022 di Auditorium Institut Kanser Negara) 

Tambahnya, penyakit kanser yang dikesan lewat memerlukan kos rawatan yang tinggi dan peluang untuk sembuh yang lebih rendah berbanding sekiranya dikesan pada tahap awal.

Ujar Khairy, kerjaaan perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk merawat kanser. Pada tahun ini kerajaan memperuntukan RM136,993,700 untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi.

Jumlah tersebut tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi serta perkhidmatan paliatif.

Media Baharu