fb fb fb fb fb

KKM perkenal akta baharu larang aktiviti merokok untuk 'Generation End Game'

FOTO UKK KKM

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) akan membawa satu akta baharu untuk melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape kepada generasi lahir selepas 2005 yang dikenali sebagai ‘Generatian End Game’.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22% kematian akibat kanser dan anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.

“Satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan lima amalan cara hidup berisiko iaitu; pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Kanser Sedunia 2022 hari ini.

Beliau juga berharap perlaksanaannya akan mengurangkan jumlah perokok baharu dan seterusnya akan tiba satu masa, tiada lagi perokok di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata kajian menunjukkan 30% hingga 50% punca kanser boleh dicegah dengan pembudayaan hidup sihat.

Justeru, promosi-promosi kesihatan adalah penting sebagai langkah agar orang ramai cenderung ke arah pembudayaan hidup sihat dalam mengurangkan risiko. Promosi pembudayaan hidup sihat juga adalah salah satu teras utama dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dilaksanakan KKM sejak tahun lalu.

Selain itu, Khairy berkata pengesanan awal dan rawatan serta peningkatan akses kepada penjagaan pesakit juga menjadi keutamaan kerajaan.

“Kita harus menerima hakikat bahawa jurang penjagaan kanser memang wujud di seluruh dunia termasuk di negara kita. Semua rakyat sepatutnya menerima penjagaan serta rawatan termasuk maklumat berkaitan kanser yang saksama dengan orang lain,” katanya.

Atas perkara itu, Khairy mahu perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi merupakan komponen utama dalam rawatan kanser perlu dipertingkatkan terutamanya dari aspek kepakaran dan akses.

“Saya tahu kebanyakkan perkhidmatan tertumpu di pusat pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman. Perkhidmatan ini juga tidak mudah dicapai bagi mereka yang berpendapatan rendah,” tambahnya.

Ketika ini masa ini Malaysia hanya mempunyai 128 orang Pakar Onkologi; di Kementerian Kesihatan 36 orang, di Hospital Universiti 14 orang dan 78 orang di hospital swasta. Tujuh orang sedang menunggu untuk diwartakan sebagai pakar.

Selain itu dari 36 Pusat Rawatan Kanser yang ada di seluruh negara, hanya enam di bawah Kementerian Kesihatan iaitu Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara, Hospital Sultan Ismail di Johor, Hospital Pulau Pinang, Hospital Likas di Sabah dan Hospital Umum Sarawak. Manakala Selebihnya adalah di hospital universiti (4) dan swasta (27).

Ketika ini KKM belum mempunyai Pusat Rawatan Kanser di Utara dan Pantai Timur. Pesakit-pesakit dari Pantai Timur perlu ke Kuala Lumpur atau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan.

Sementara bagi pesakit-pesakit dari Utara, Hospital Pulau Pinang hanya mempunyai tenaga kepakaran tetapi tidak mempunyai perkhidmatan radioterapi, justeru perlu menyumber keluarkan rawatan radioterapi ke hospital swasta.

Selain itu, perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi, Perkhidmatan Rehabilitasi dan Penjagaan Paliitif juga belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan.

Hari Kanser Sedunia yang diadakan pada 4 Februari setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser dan seterusnya menggalakkan pencegahan, pengesanan serta rawatan kanser.

Tahun ini, tema dipilih adalah “Close the Care Gap” atau “Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser”.

Media Baharu