PULAU PINANG, 17 Februari - Zakat Pulau Pinang (ZPP) hari ini menyerahkan sumbangan enam buah van jenazah kepada enam buah masjid di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekuif ZPP, Amran Hazali berkata kesemua sumbangan melibatkan dana berjumlah RM872,000.
Sumbangan merupakan salah satu jenis bantuan zakat bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah orang Islam.
"Ini sekali gus menunjukkan komitmen ZPP untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada umat Islam di Pulau Pinang, khususnya supaya sebarang kekurangan atau keperluan yang diperlukan oleh masjid dapat kita bantu hasil daripada sumbangan pembayar zakat di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan van jenazah di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap pemberian van jenazah tersebut dapat melancarkan kerja-kerja pengurusan jenazah di masjid tersebut atau masjid berdekatan.
"Penyerahan van Insya-Allah diharap melancarkan dan memudahkan lagi pengurusan jenazah di masjid-masjid ini. Kita faham masjid-masjid ini mungkin sudah mempunyai van jenazah tetapi ada kala tidak mencukupi, jadi ini boleh memudahkan pengurusan jenazah di kariah masjid tersebut dan juga masjid yang berdekatan," katanya.