fb fb fb fb fb

KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 17 Februari - Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dinobat sebagai penyedia perkhidmatan terbaik dunia, melalui kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.

Keputusan itu diumumkan baru-baru ini oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa yang bertanggungjawab menetapkan penanda aras kepada lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang berhubung keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

 

Melalui kenyataan, Malaysia Airports menyatakan kedudukan pertama yang diperoleh dicapai bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori sama.

"Kategori itu meliputi lapangan terbang yang menerima penumpang lebih 40 juta penumpang setahun, yang mencatatkan skor sempurna 5.00 dalam kaji selidik global berkenaan," menurut kenyataan itu.

Pencapaian terkini KLIA antaranya memberikan jaminan tambahan kepada penumpang tentang komitmen berterusan lapangan terbang berkenaan untuk meningkatkan perkhidmatan, di sebalik prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat bagi membendung pandemik COVID-19.

"Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya, manakala aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mencatatkan pergerakan dua juta penumpang," katanya.

 

Media Baharu