fb fb fb fb fb

Dua sistem siren Tsunami baharu dibangunkan di Labuan

LABUAN, 17 Februari - Dua sistem siren Tsunami baharu dibangunkan di Labuan, mengukuhkan lagi Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) di wilayah itu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Labuan, Norasmawati Shahla berkata ini sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan menangani bencana Tsunami.

"Sistem siren Tsunami ini juga untuk mewujudkan kesedaran awam mengenai amaran awal yang dikeluarkan sekiranya berlaku bencana. Jika terjadi, orang ramai dinasihat sentiasa peka dengan bunyi siren amaran tersebut serta berpindah ke tempat yang lebih tinggi dan selamat," katanya.

Beliau ditemui selepas proses pengujian sistem siren tersebut di Masjid Al-Muttakin Kampung Kerupang. Hadir sama proses pengujian itu beberapa pegawai dan anggota polis, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Perbadanan Labuan.

Norasmawati memaklumkan, satu lagi sistem siren baharu itu ditempatkan di Masjid Al-Muzakirullah Kampung Lubok Temiang.

Kini terdapat tiga sistem siren Tsunami di Labuan, termasuk di Balai Bomba Layang-Layangan.

Tambahnya, satu lagi sistem siren dirancang dibangunkan di kawasan bandar iaitu di Menara Perbadanan Labuan.

Media Baharu