fb fb fb fb fb

SKMM diarah berhubung dengan SRBN, tangani masalah kelajuan internet


KUALA LUMPUR, 17 Februari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) bagi menangani masalah kelajuan internet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata arahan diberi susulan tular isu mengenai seorang pemuda di Sarawak berdepan kesukaran menjalani temu duga dalam talian disebabkan masalah berkenaan.

Menerusi hantaran di Twitternya, beliau memaklumkan amat bersimpati dengan apa yang dihadapi pemuda berkenaan.

"Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau. Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN),” menurut hantaran itu.

Media melaporkan Frank Steward Panting Sa, 19 dari Pakan,Sarawak terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.

Menurut laporan itu, kawasan tempat tinggal pemuda tersebut di penempatan rumah panjang Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih dilengkapi Wifi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran), namun ia tidak dapat memenuhi keperluan data bagi sesi temu duga itu.

 

Media Baharu