fb fb fb fb fb

Bantuan bencana RM5.6 juta kepada 455 penternak terjejas banjir

KUANTAN, 17 Februari - Sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bagi membaik pulih infrastruktur penternakan yang terjejas akibat bencana banjir.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerugian akibat banjir yang melanda 9 negeri sehingga 31 Januari lalu dianggarkan berjumlah RM11.68 juta.

Ia melibatkan 455 penternak berdaftar di Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.

Bantuan yang disediakan termasuk sumbangan haiwan ternakan, membaiki kerosakan, bantuan makanan dan vitamin.

"Kerajaan tidak mampu untuk bagi 100 peratus, kerana sangat besar tetapi sebahagian daripadanya kerajaan cuba pulihkan semula kerana terdapat mereka yang semua rosak tapi kerajaan bagi peruntukan tersebut untuk mereka mampu berdiri balik bangun balik dalam industri ini", kata Dr Nik Muhammad selepas lawatan kerja ke ladang penternak terjejas banjir di Kampung Pandan 2, di sini.

Beliau menyeru penternak yang belum berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) agar berbuat demikian sebelum 28 Februari bagi memudahkan mereka mendapatkan bantuan.

 

Media Baharu