BATU CAVES, 6 Disember -Seramai 36 orang murid sekolah rendah diberi peluang merasai pengalaman sebenar majlis graduasi menerusi Program Konvokesyen Cilik, anjuran Universiti Melaya (UM) dan SK 1 Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.
Menerusi program unik itu, ke semua mereka dirai seperti seorang graduan universiti, dengan memakai topi ‘mortarboard’ dan menerima skrol di atas pentas setelah nama mereka dipanggil satu persatu, persis majlis konvokesyen sebenar.
“Walaupun hanya dibuat secara ringkas, saya gembira melihat riak wajah anak-anak ini yang sangat teruja menerima gulungan skrol di atas pentas dewan tersohor ini. Kebanyakan daripada mereka merupakan anak-anak yatim dan asnaf, jadi peluang sebegini pastinya akan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri mereka,” kata Mohd Rizal Rais, Guru Besar SK 1 Selayang Baru, yang turut hadir di Dewan Tunku Canselor.
Menariknya, program tersebut turut menampilkan perarakan melibatkan dekan dan pengurusan tertinggi’ universiti yang dilakonkan mahasiswa UM.
Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Prof Madya Ir Dr Nahrizul Adib Kadri, pihaknya amat bersyukur keranan program julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan walaupun dalam masa singkat.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak terlibat, termasuklah Jabatan Pendaftar, Keselamatan, Fakulti Seni Kreatif, dan sukarelawan dari kalangan mahasiswa UM. Walaupun terkekang dengan kesibukan musim konvokesyen, namun program kemasyarakatan yang berhasrat untuk membina motivasi murid-murid sekolah ini berjaya dilaksanakan,” katanya yang turut melakonkan watak Pro-Canselor dalam Program Konvokesyen Cilik itu.
Ketika berucap, Dr Nahrizul Adib menekankan kepentingan kepada anak-anak murid SK 1 Selayang Baru untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang diceburi.
“Kejayaan bukan hanya diukur dari sejauh mana kemampuan kita untuk melanjutkan pelajaran, namun yang lebih penting adalah iltizam untuk menjadi insan yang berguna dalam segenap hidup bermasyarakat,” katanya.
Sementara itu Naib Canselor UM, Prof Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman ketika dihubungi menyatakaan keyakinannya bahawa program ini mampu meletakkan UM sebagai peneraju dalam usaha mendekati masyarakat secara konsisten.
“Objektif ini selaras dengan hasrat UM untuk terus mendepani isu-isu kemasyarakatan, terutamanya yang melibatkan generasi masa hadapan dari golongan yang memerlukan,” katanya.
Program yang buat pertama kalinya telah ‘memasyarakatkan’ majlis istiadat konvokesyen di sebuah universiti awam turut dijayakan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (YATIM).
“Saya sememangnya terharu dengan kesungguhan pihak UM menjayakan program ‘Konvokesyen Cilik’ ini, dan saya yakin impak motivasi kepada anak-anak ini adalah sangat besar dan akan berkekalan. Moga hubungan kedua belah pihak dapat diteruskan dalam program-program lain pada masa hadapan, demi mendekati anak-anak ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 dan miskin bandar,” kata Mohd Rizal mengakhiri temubual.