fb fb fb fb fb

UUM disenarai 821-840 dalam QS World University Ranking: Sustainability 2024

Foto Facebook Universiti Utara Malaysia

ALOR SETAR, 6 Disember - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mendapat pengiktrafan di peringkat global apabila tersenarai pada kedudukan 821-840 dalam QS World University Ranking: Sustainability 2024 bagi aspek pematuhan isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Naib Canselor Profesor Dr Mohd Foad Sakdan dalam satu kenyataan berkata, secara keseluruhan UUM menduduki tangga 491 daripada 1,403 universiti terbaik dunia dalam aspek tadbir urus.

Beliau berkata pencapaian itu secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar bukan sahaja dari dalam negara, malah antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu.

"Kejayaan tersebut juga membuktikan UUM mempunyai tadbir urus terbaik dari segi budaya organisasi yang holistik dan berintegriti, serta tidak berkompromi dengan salah laku pengurusan.

“Penarafan tersebut menyerlahkan cara universiti mengambil tindakan dalam menangani isu dalam tiga kategori berkenaan melalui penyelidikan, pengajaran, tadbir urus yang kukuh serta penglibatan universiti bersama komuniti," katanya.

Menurutnya lagi menerusi penarafan itu juga, UUM akan terlibat dalam inisiatif global untuk mengukuhkan kelestarian dan menggalakkan pembangunan mampan dengan memastikan generasi pelajar akan datang mendapat pendidikan yang menitikberatkan pemahaman mendalam tentang konsep kelestarian untuk diwarisi kepada generasi seterusnya dalam keadaan terbaik.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen diberikan dalam memastikan ESG menjadi perkara utama dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti demi memastikan kelestarian UUM dan negara.

TETITIA YUSOFF