PUTRAJAYA, 15 Julai - Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KZK) 2025 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) akan menjelajahi tiga daerah di negeri Johor bagi menyantuni golongan asnaf bermula 15 hingga 18 Julai ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata program itu sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pengurusan zakat negara dengan mempergiatkan kerjasama strategik bersama agensi-agensi kerajaan negeri.
"Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah tuan rumah pada tahun ini. Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan ini merupakan tahun yang ke-9 dengan objektif untuk memperkukuh kerjasama antara JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan juga agensi menguruskan zakat. Peserta-peserta konvoi ini akan menyantuni masyarakat, khususnya di kalangan asnaf. Ada sumbangan yang akan diberikan dalam tempoh tersebut," kata beliau ketika ditemui selepas pelepasan rasmi Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KZK) 2025 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Tambah Mohd Na'im, selain memperkasa institusi zakat sebagai instrumen pembangunan ummah, ia turut menjadi pemangkin kepada sistem sokongan sosial Islam yang mampan.
Tiga daerah yang akan dijelajahi ialah Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian.
Seramai 167 peserta yang terlibat daripada 16 Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh negara membabitkan penyertaan 44 buah kenderaan.