KUANTAN, 15 Julai - Seorang pengurus hotel di sini, mengalami kerugian berjumlah RM211,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata berdasarkan laporan polis, lelaki terbabit melihat satu iklan pelaburan dikenali 'Gexert Max' di laman sosial Facebook pada 16 Mac lalu.
"Berminat dengan skim tersebut, mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp dan memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi termasuk memberikan pautan aplikasi pelaburan bagi tujuan itu," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian melakukan enam transaksi kepada dua akaun bank antara tarikh 4 dan 11 Jun lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM211,000 dengan menggunakan wang simpanan sendiri.
Selepas transaksi dibuat, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan,namun tidak berbuat demikian selepas menyedari tiada sebarang pulangan diterima.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Pengurus hotel kerugian RM211,000, terpedaya skim pelaburan tidak wujud dalam talian

powered by social2s