DUNGUN, 15 Julai - Dua unit pertama tren elektrik pelbagai unit (EMU) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan tiba pada Disember ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, hari ini.
Menurut beliau, keseluruhannya sebanyak 11 set tren EMU, 11 tren penumpang, dan 20 set lokomotif akan diterima secara berperingkat.
Fasa terakhir penerimaan kenderaan ini dijadualkan pada Mei tahun hadapan, bagi memulakan program ujian di tapak fasiliti ECRL.
"Dua tren pertama akan tiba pada penghujung tahun ini, manakala baki sembilan lagi dijangka sampai pada bulan April dan Mei tahun hadapan.
"Kesemua tren ini akan digunakan dalam program ujian di tapak fasiliti ECRL," katanya.
Beliau turut memaklumkan kemajuan pembinaan projek ECRL menunjukkan prestasi memberangsangkan, terutama di negeri-negeri Pantai Timur.
Terengganu mencatat kemajuan tertinggi dengan 91.79 peratus setakat ini, sekali gus menjadi penanda aras bagi penerimaan tren-tren tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Darwis turut mengumumkan seramai 101 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari seluruh negara telah dipilih untuk mengikuti latihan di China.
Latihan ini bertujuan mempersiapkan tenaga kerja tempatan menjelang operasi penuh ECRL dijadual bermula pada Januari 2027.