GEORGE TOWN, 15 Julai - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mempunyai ehsan ketika berdepan dengan peniaga kecil tepi jalan di Pulau Pinang.
Peniaga telah berniaga hampir 30 tahun dan memiliki lesen perniagaan sah tetapi masih tidak mempunyai premis perniagaan yang sesuai.
Itu yang dilalui Mohd Nasser Abdul Kadar, seorang peniaga di kawasan pedalaman George Town dan menerima hampir dua saman setahun kerana menajalankan peniagaan di tepi jalan walaupun telah memohon tapak perniagaan.
"Pada mulanya mereka maklumkan yang kedai akan diberikan di bahagian tepi, tetapi selepas itu diberitahu pula bahawa kedai di dalam pasar sudah siap dan akan diberikan kepada kami satu unit kedai di dalam pasar.
"Saya sudah empat kali memberikan nombor kad pengenalan (IC), namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan atau maklum balas. Saya ingin mohon jasa baik pihak PBT, jika boleh diberikan satu kedai, amatlah membantu.
"Sekarang ini, hujan turun hampir setiap hari, menyukarkan keadaan kami untuk berniaga. Mereka kata hanya satu payung sahaja dibenarkan, tetapi kini satu payung pun tidak boleh diletakkan," katanya.
Situasi sama turut dirasai seorang peniaga makanan di Jalan Penang yang sedang menanti kebenaran PBT untuk memberi kebenaran memasang khemah tambahan untuk pelanggan.
"Kami cuma mahu pasang khemah sebagai perlindungan daripada hujan. Pihak MPP ada memaklumkan yang kebenaran telah diberikan, tetapi sehingga sekarang kami masih belum menerima sebarang surat rasmi.
"Apabila hujan turun, memang sukar untuk kami berniaga. Pelanggan pun tiada tempat untuk berteduh atau duduk. Keadaan ini benar-benar menyukarkan kami," ujarnya.
Bagi Aktivis Masyarakat, Mohamed Nasir Mohideen, walaupun tertera dalam undang-undang semua skop perniagaan, pihak berkuasa tempatan perlu ada ehsan bila berdepan dengan peniaga kecil di tapak tepi jalan yang hanya menyara hidup secara kecil-kecilan.
"Saya amat berharap agar dapat diberikan satu pendekatan atau pencerahan alternatif. Sebaiknya, adakan satu sesi perbincangan agar kita dapat mencari penyelesaian bersama. Jika tiada ruang untuk berbincang, situasi ini akan terus berlarutan dan menyukarkan semua pihak.
"Tanpa penyelesaian yang baik, ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap beberapa agensi terlibat, khususnya dalam kalangan peniaga kecil yang berniaga di tepi jalan.
"Justeru, saya memohon agar pihak berkenaan dapat menyediakan satu alternatif yang wajar dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa, bagi menangani masalah ini secara berhemah dan telus." katanya.
Beliau berharap pihak badan kerajaan tempatan sentiasa mengambil berat kebajikan peniaga kecil dan tidak mengambil tindakan berlandas undang-undang sewenang-wenangnya dan mengadakan perbincangan serta rundingan dengan peniaga kecil tepi jalan.