fb fb fb fb fb

Konvensyen Al-Liqa'-Qanuniy, bincang penguatkuasaan undang-undang syariah - Na'im

Foto Fail

PUTRAJAYA, 6 Jun- Isu kekangan penguatkuasaan undang-undang syariah terhadap penyebaran ajaran sesat dari luar negara yang disebarkan di media sosial antara fokus yang dibincangkan dalam Konvensyen Al-Liqa’ Qanuniy.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata wujud kekangan bagi menangkap, mendakwa,dan melaksanakan penguatkuasaan kerana ia berlaku di luar negara namun konvensyen itu diharap dapat mencari satu solusi dalam membanteras kesalahan tersebut.

"Bila mana penyebaran ini berlaku secara dalam talian, kita akan berbincang bagaimana cara untuk kita kuat kuasa ke atas mereka yang berada di luar negara."

"Jadi, atas isu inilah Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan mengambil inisiatif mengumpulkan semua pihak terlibat termasuk penguatkuasaan jenayah di negeri-negeri untuk membincangkan isu rentas sempadan ini membabitkan kandungan dalam talian dan media sosial."

"Jadi, di situ ada kekangan daripada sudut undang-undang sedia ada yang akan sama-sama kita tangani," kata Na'im kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tersebut yang bertemakan ‘Pendakwaan dan Penguatkuasaan Jenayah Syariah Merentas Sempadan’ anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Melalui konvensyen tersebut juga, beliau berharap mekanisme yang dibincangkan membolehkan kerjasama antara negeri-negeri dan kerjasama dua hala antara dua negara dapat dibentuk.

Selain itu, tatacara siasatan, proses ekstradisi dan perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa antara aspek yang boleh diperhalusi dan ditetliti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM