PUTRAJAYA, 26 November - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempertimbang untuk memfailkan saman terhadap individu yang memfitnahnya berhubung penganjuran konsert kumpulan rock antarabangsa Coldplay, baru-baru ini.
Katanya, perkara itu berkait dengan satu hantaran grafik yang mengaitkan gambarnya dengan mengungkapkan kalimah 'Alhamdulillah'.
Beliau menyifatkan individu tersebut telah melemparkan tuduhan dan memahami diluar konteks berdasarkan laporan media ketika diminta mengulas berhubung penganjuran konsert berkenaan.
“Ia mendakwa konon saya mengucapkan ‘Alhamdulillah, konsert itu berjalan dengan baik’, walhal tuduhan ini bersifat fitnah malah berniat jahat.
“Ia lari daripada apa yang saya sebut sendiri dan saya akan minta peguam untuk teliti pihak yang membuat infografik berkenaan sebelum diambil tindakan undang-undang,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan ke-17 di sini, hari ini.
Kira-kira 85,000 penonton menghadiri konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour in Kuala Lumpur’ yang berlangsung meriah di Stadium Nasional pada 22 November lalu .
Tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa Fahmi 'bersyukur' dengan pelaksanaan konsert Coldplay.
Malah grafik tersebut turut disunting dengan mengandungi wajah beliau dengan berlatar belakangkan suasana konsert dengan tajuk 'Konsert Coldplay: Alhamdulliah, berjalan dengan lancar - Fahmi Fadzil".