fb fb fb fb fb

Kongres PKR 2023 terjemah kematangan parti, memaknai kejayaan Anwar terajui kerajaan

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Kongres PKR 2023 menjadi medan akar umbi melontarkan pandangan, cadangan dan kritikan untuk memacu PKR ke arah lebih baik/FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 November - Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang melabuhkan tirai hari ini, menterjemahkan kematangan parti selain memaknai kejayaan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata kemenangan terbesar PKR bukan hanya terletak pada kejayaan ‘menawan’ Putrajaya dan mengetuai Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya kejayaan terbesar adalah mencipta kestabilan politik dalam hanya tempoh setahun menerajui pentadbiran negara.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata perhimpunan tahunan itu menjadi medan akar umbi melontarkan pandangan, cadangan dan kritikan untuk memacu PKR ke arah lebih baik selaras dengan usia parti yang menginjak usia 25 tahun pada 2024.

“Kongres berjalan dengan amat lancar… suara-suara serta pandangan daripada akar umbi, mengingatkan kita berada di Putrajaya (sebagai Kerajaan Persekutuan) bukan kemenangan untuk harta (membolot kekayaan).

“Sebaliknya ia satu amanah daripada rakyat yang mengharapkan perubahan besar dan baik untuk mereka. Tahun pertama telah selesai (sejak menjadi kerajaan), kestabilan (politik) telah kita capai dan itulah kemenangan kita yang tidak disebut… inilah kerajaan paling stabil,” katanya.

Fahmi berkata segala teguran dilontarkan daripada peringkat akar umbi hingga pucuk pimpinan akan diteliti dalam semua aspek supaya PKR tidak tersasar daripada landasan perjuangannya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kongres berakhir, yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula semalam.

Kongres itu dihadiri Anwar, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta Majlis Pimpinan parti.

Fahmi berkata sambutan diterima amat membanggakan dengan kehadiran 1,485 perwakilan seluruh negara serta 1,770 pemerhati berdaftar.

Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 adalah yang pertama selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan pada 24 Nov 2022. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN