fb fb fb fb fb

KDN ambil lapan buku dipercayai berunsur komunisme

Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 27 November- Sebanyak lapan naskah buku dipercayai berunsurkan komunisme di sebuah premis di Petaling Jaya diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan maklumat orang awam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

"Apabila ada aduan daripada orang awam sudah tentu Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan KDN akan menggunakan klausa daripada akta yang berkenaan untuk melawat premis yang diadu, kemudian mengambil beberapa bahan (atau) buku yang terlibat.

"Bukan rampas, tetapi ambil. Gerakbudaya pun bagitahu pegawai penguatkuasa (KDN) bertindak dengan sopan," katanya ketika ditemui pemberita pada Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Tambah beliau, panel siasatan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN akan mengembalikan semula naskah terbabit sekiranya terbukti tidak mengandungi elemen komunisme.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan menerusi KDN peka terhadap aduan awam, sekali gus memastikan tindakan penguatkuasaan dibuat tanpa melampaui batas undang-undang.

SITI AISHAH BINTI MD ISA