KUALA LUMPUR, 27 November - Isu kes bunuh diri akibat buli siber dan kejayaan program Rakan Muda antara isu yang akan dikupas pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan berhubung langkah mencegah penyalahgunaan media sosial hingga adanya kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber di platform TikTok, diajukan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) kepada Menteri Komunikasi dan Digital.
Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pula meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan kejayaan program Rakan Muda setakat ini dan bagaimana program itu membantu menyatupadukan masyarakat dan memerangi ekstremis berkaitan elemen 3R iaitu raja, agama dan bangsa dalam negara.
Pada sesi sama, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) pula minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah minyak masak peket bersubsidi yang dikeluarkan kementerian pada setiap bulan dan berapa jumlah diagihkan kepada golongan isi rumah B40 serta peniaga mikro.
Selain itu, persoalan mengenai syor yang dikemukakan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang diwujudkan baru-baru ini dalam isu perumahan terbengkalai turut diajukan oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat menyambung semula perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) yang memasuki hari terakhir melibatkan beberapa kementerian berkaitan.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, minggu ini adalah minggu akhir persidangan Dewan Rakyat yang bermula 9 Oktober lepas hingga Khamis ini. - BERNAMA