
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Sektor pelancongan perubatan Malaysia kekal berada pada landasan stabil di sebalik ketegangan konflik geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
- Kebergantungan rendah kepada pesakit Asia Barat; kebanyakan pelancong perubatan datang dari Indonesia, China, Kemboja dan Asia Tenggara.
- Jangkaan peningkatan pesakit dari Asia Barat, khususnya Dubai, yang mungkin memilih Malaysia sementara sehingga situasi stabil.
- Penyenaraian Sunway Healthcare berjaya mengumpul RM3.3 bilion; IPO terbesar di Malaysia dalam sembilan tahun dan signifikan bagi ASEAN.
Ketua Pegawai Kewangan Sunway Healthcare Holdings Bhd, Chelsea Cheng berkata, keadaan itu didorong oleh kebergantungan rendah Malaysia terhadap pesakit dari rantau berkenaan.
“Tiga negara utama yang menyumbang kepada pelancong perubatan ke Malaysia ketika ini ialah Indonesia, China dan Kemboja, selain negara serantau lain di Asia Tenggara.
“Berdasarkan prospek semasa konflik, kami tidak terlalu bergantung kepada pesakit dari rantau tersebut. Justeru, sektor pelancongan perubatan negara dilihat kekal terlindung dan kami yakin prestasinya bagi tahun ini akan terus kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan pelancong perubatan dari Asia Barat, khususnya dari Dubai yang merupakan hab perubatan serantau.
“Pesakit dari Asia Barat yang sebelum ini mendapatkan rawatan di Dubai kini mungkin memilih Malaysia atau negara Asia lain untuk rawatan sementara sehingga situasi stabil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pergerakan mata wang turut memainkan peranan apabila pengukuhan ringgit berbanding dolar Singapura membantu menarik lebih ramai pelancong perubatan, termasuk dari Indonesia.
Mengulas mengenai penyenaraian, Sunway Healthcare Holdings Bhd membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.70 sesaham, iaitu premium 25 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.45. Sebanyak 38.37 juta saham diniagakan pada sesi dagangan awal.
IPO syarikat penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu juga berjaya mengumpul RM3.3 bilion menerusi tawaran asas dan opsyen lebihan langganan, sekali gus muncul sebagai IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh sembilan tahun serta kedua terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan ASEAN setakat ini.