
PUTRAJAYA, 11 Mac — Kerajaan mengekalkan harga petrol subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
- Kerajaan mengekalkan harga RON95 subsidi untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
- Bekalan produk petroleum negara terkawal dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
- Timbalan Perdana Menteri dan KPDN dipertanggungjawabkan mempengerusikan jawatankuasa bagi membanteras penyeludupan bahan api.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bekalan produk petroleum negara ketika ini masih terkawal dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Sebab itu selepas dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, kerajaan memutuskan harga RON95 untuk rakyat dikekalkan pada paras RM1.99 seliter. Ini satu keputusan yang sukar, namun harga itu akan terus dikekalkan walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi, malah jauh lebih tinggi berbanding bulan lalu dan sehingga tiga kali ganda lebih mahal di negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas hari ini mengenai perkembangan semasa susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya, kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Pada masa sama, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut dipertanggungjawabkan mempengerusikan jawatankuasa berkaitan penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan bahan api, khususnya diesel di Sabah dan Sarawak.
“Jadi saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pengawasan lebih teliti serta tindakan lebih tegas terhadap golongan yang cuba mengambil kesempatan menyeludup bahan api,” katanya.