DENGKIL, 6 Ogos- Komuniti MADANI menjadi mata telinga kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyalurkan maklumat berkaitan rangkaian internet di kawasan masing- masing.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzli berkata selain memaklukan berkenaan rangkaian internet, komuniti MADANI harus memastikan semangat perpaduaan, patriotik dan kenegaraan dalam masyarakat terus utuh walaupun berbeza pandangan politik.
Sebanyak 168 Komuniti MADANI telah dan sedang ditubuhkan di Selangor melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Menjadi mata, telinga, lidah dan juga kaki dan tangan untuk Jabatan Penerangan terutama dalam usaha menyelesaikan masalah internet di kawasan masing-masing serta mematah atau pun menyanggah fitnah yang berleluasa.
"Jadi saya harap dengan tertubuhnya Komuniti MADANI di ketiga-tiga kawasan parlimen ini usaha dan ikhtiar kerajaan termasuk dasar dan program-program akan dapat sampai ke peringkat komuniti," kata Fahmi kepada media selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti DUN Dengkil di sini.
Penyertaan keahlian Komuniti MADANI mendapat sambutan pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
(Fahmi berkata Komuniti MADANI jadi mata telinga kepada KKD)
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan watikah kepada 38 Ketua Komuniti MADANI bagi Zon Selatan Negeri Selangor meliputi 13 Dewan Undangan Negeri di daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat.
Komuniti MADANI merupakan badan sukarela yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Sejumlah 1,878 Komuniti MADANI akan ditubuhkan secara berfasa di seluruh negara.