LABUAN, 9 November- Kerja menaik taraf dan penyelenggaraan Kompleks Belia dan Sukan Labuan bernilai RM20 juta dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.
Namun, dewan kompleks berkenaan dijangka awal siap pada suku pertama iaitu pada Mac 2025.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, perlaksanaan projek itu diharap dapat dilaksanakan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.
"Projek naik taraf di Labuan memerlukan masa dan banyak bahan datang dari semenanjung cuma saya berharap mereka akan mengikut jadual.
"Saya tidak mahu penanguhan yang akan menyebabkan kos meningkat. Saya tahu hasrat penduduk adalah untuk menggunakan fasiliti secepat mungkin seperti balapan.
"Saya difahamkan apabila dibuka nanti, kira-kira 1,000 hingga 2,000 orang menggunakan balapan itu. Jadi ini adalah satu keperluan untuk penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek menaiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan di sini.
Pada sesi lawatan itu, Menteri Belia dan Sukan diberi taklimat mengenai perkembangan semasa pembinaan projek berkenaan oleh Pengarah Jabatan JKR Labuan, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah.
Terdahulu Hannah berkesempatan menjayakan pelbagai pengisian aktiviti bersama-sama warga Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sempena program 'Jom Gegar Labuan' dan penganjuran Sukan Rakyat Perpaduan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.