SEREMBAN, 28 Jun- Kompleks Arena Seremban menjadi antara mercu tanda kemajuan pembangunan landskap Negeri Sembilan khususnya di Seremban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM250 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan itu seiring dengan agenda besar kerajaan negeri, seperti pelaksanaan Projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) yang dijangka memberi kesan besar terhadap ekonomi dalam memacu kemajuan negeri.
"Kompleks ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti keusahawanan, serta merangsang sektor pelancongan dan perkhidmatan.
"Pada masa sama, pembangunan ini juga memberi impak positif kepada kualiti hidup masyarakat setempat melalui penyediaan kemudahan rekreasi, ruang interaksi sosial dan infrastruktur awam yang moden.
"Ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pembangunan bersifat holistik dan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Kompleks Arena Seremban di sini.
Kompleks Arena Seremban dilengkapi lima komponen utama seperti stadium tertutup yang berkapasiti 3,000 tempat duduk dan berpotensi menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa.