fb fb fb fb fb

Terus sokong, perluas Program K2K

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan pelajar yang menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang pada Majlis Meraikan Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Tuisyen Percuma - Geran Komuniti K2K di IYC Jalan Yaacob Latif hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 JUN - Sebanyak RM17,052 daripada dana Geran Komuniti Kita-Untuk-Kita (K2K) dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia.

Dana itu untuk menjalankan kelas tuisyen percuma, yang telah melahirkan lima pelajar cemerlang dengan keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Projek yang digerakkan oleh Forum Komuniti (FORKOM) PPR Taman Mulia ini telah memberi impak kepada lebih 40 pelajar dari kawasan setempat.

Ia juga menjadi bukti nyata bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu melonjakkan prestasi akademik, terutamanya dalam kalangan pelajar berpendapatan rendah.

Menurut Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, keberhasilan ini memperlihatkan bagaimana inisiatif berskala kecil dapat memberi impak besar kepada masyarakat.

"Kita hanya beri sedikit lebih kurang RM17,000 sahaja, tapi hasilnya sangat luar biasa. Daripada 47 pelajar yang menyertai projek ini, lima daripadanya berjaya mendapat 8A, dan tiga pelajar lagi memperoleh 5A.

"Ini bukan angka kecil, ini menunjukkan bahawa usaha kecil boleh membuahkan hasil besar,” katanya ketika ditemui di Majlis Meraikan Kecemerlangan Pelajar SPM PPR Taman Mulia, yang diadakan di International Youth Centre, hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut berkongsi kisah menyentuh hati salah seorang pelajar cemerlang, yang memperoleh 8A walaupun datang daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

“Saya sangat tersentuh apabila salah seorang pelajar 8A itu merupakan anak kepada seorang ayah yang hanya bekerja biasa. Ini membuktikan, kalau diberi peluang dan pendedahan, anak-anak ini mampu cemerlang. Kita hanya perlu bantu mereka sedikit,” jelasnya.

Dana Geran K2K merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada April 2023 dan dikendalikan oleh Think City. Ia bertujuan memperkasakan komuniti perumahan awam di Lembah Klang melalui 39 projek berimpak tinggi, melibatkan pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebersihan, budaya dan sukan keseluruhannya bernilai lebih RM1 juta.

"Saya berasa bangga melihat semangat komuniti yang terus meneruskan inisiatif walaupun selepas tamatnya tempoh pembiayaan. Saya menyeru agar program seperti ini terus diperluas ke kawasan-kawasan lain demi masa depan anak-anak Malaysia yang lebih cerah.

“Saya diberitahu bahawa komuniti ini ingin teruskan lagi projek seumpamanya. Tapi kita juga perlu ada penilaian. Bukan sekadar beri dana, tapi mesti ada hasil yang nyata seperti yang kita saksikan hari ini,” ujar beliau.

Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menyeru agar pendekatan komuniti seperti ini diperluas ke kawasan-kawasan lain demi masa depan pendidikan negara yang lebih inklusif dan progresif.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI