SUBANG JAYA, 28 Jun- Sejarah kegemilangan akhbar Utusan Melayu selama lapan dekad perlu diangkat sebagai subjek utama dalam kajian-kajian kewartawanan di peringkat pengajian tinggi.
Ia mengambil kira peranan besar dalam perkembangan politik dan sosial tanah air sejak ditubuhkan pada 1939.
Demikian cadangan yang dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Akhbar Malaysia (MPI), Ainol Amriz Ismail.
"Jadi pertama, untuk memastikan bahawa segala kajian berkaitan dengan Utusan Melayu dimasukkan dalam silibus kajian kepada akademik-akademik ataupun pelajar-pelajar supaya mereka faham tentang sejarah susur galur Utusan Melayu pada awal kemunculannya hingga penutupannya pada tahun 2019.
"Kenapa saya kata begitu, sebab kita belajar daripada perjuangan itu. Kedua kita belajar daripada karakter wartawan itu sendiri, bagaimana mereka mengolah dan membentuk, sebab sejarah yang berlaku di Utusan Melayu ini adalah sejarah negara bukan sejarah kewartawanan itu saja," katanya.
Ainol Amriz mengemukakan cadangannya dalam sesi Forum Kenangan Utusan Melayu Sempena Ulang Tahun Akhbar Utusan Melayu ke-86 & Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang berlangsung di sini; yang dihadiri lebih 50 veteran akhbar berkenaan.
"Selepas kita melihat respons daripada yang hadir, kalau kita menuju ke arah itu saya rasa ia bukan satu isu besar. Dan mudah-mudahan perkara itu boleh diangkat iaitu Utusan Melayu sebagai subjek utama. Supaya Kursi kewartawanan Utusan Melayu itu menjadi satu gerbang ilmu atau pembuka kepada kajian-kajian berkaitan kewartawanan."
Pada masa sama, tanggal 29 Mei bukan semata-mata tarikh meraikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sebaliknya, tarikh sama bagi memperingati sejarah penubuhan akhbar Utusan Melayu selama lapan dekad.
Bahkan menurut Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, Utusan Melayu mencipta sejarah panjang sebagai akhbar yang mampu bertahan merentasi era sebelum perang sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan.
"Sejarah ini adalah sejarah bangsa, sejarah negara, sejarah kewartawanan itu sendiri, sejarah tokoh-tokoh dalam dunia kewartawanan. Jadi, salah satu daripada kelebihan Utusan Melayu kerana dia berjaya merakamkan sebagai perakam, pencatat, peneliti dan juga sebahagian daripada naratif sebuah negara bangsa bernama Malaysia," katanya.
Menanggapi perkembangan dunia kewartawanan mutakhir ini, beliau tidak menyangkal cabaran luar biasa yang dihadapi wartawan arus perdana yang terpaksa berdepan dengan kepesatan teknologi media baharu.
"Kita berdepan dengan teknologi baru. Teknologi ini mencorakkan dunia kewartawanan keseluruhannya. Jadi, hari ini kita melihat peranan yang dimainkan perkembangan gajet dan teknologi baru serta keupayaan baru. Kecerdasan buatan (AI) misalnya, ini telah mengubah sama sekali cara dunia kewartawanan.
"Tetapi bagi saya, prinsipnya adalah wartawan tetap wartawan. Dulu, kini dan selamanya. Kita tidak dapat mengubah bahawa prinsip kewartawanan itu dalam konteks apa, dalam dalam situasi apa pun dia takkan berubah.
"Begitu juga teras kewartawanan itu. Dia bertolak daripada integriti, dia bertolak daripada kebebasan daripada keupayaan untuk menyampaikan berita benar dan tepat, itu tidak berubah. Cuma mungkin mekanisme yang akan berubah," jelasnya.