PUTRAJAYA, 28 Jun- Malaysia komited melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi mempelbagaikan pasaran perdagangan serta membuka peluang perniagaan baharu susulan konflik Iran-Israel yang memberi kesan kepada ekonomi global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antara yang dilaksanakan termasuk meneroka pasaran baharu dan menjalin kerjasama perdagangan dengan lebih banyak negara luar.
Negara juga sedang memperluas hubungan perdagangan melalui blok ekonomi lain termasuk BRICS.
"Jadi, bagi kami di Malaysia, kita perlu mempelbagaikan langkah strategik. Kita sedang membuka pasaran baharu. Saya juga telah ke Norway baru-baru ini kerana Norway kini mempengerusikan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), yang dianggotai oleh empat negara Eropah yang berada di luar Kesatuan Eropah (EU).
"Jadi kita telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kita mahu perdagangan lebih aktif dengan negara-negara Eropah. Kita juga akan ke BRICS di Brazil minggu depan kerana kita mahu juga menjalin hubungan dengan negara-negara lain. Jadi kita perlu mempelbagaikan hubungan perdagangan," katanya
Beliau berkata demikian dalam satu sesi soal jawab semasa merasmikan penutupan Forum Belia Nusantara di Putrajaya
Tambahnya, pendirian Malaysia yang kekal sebagai negara berkecuali juga menjadi langkah kehadapan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan dan berdaya tahan dalam landskap ekonomi global yang mencabar.