fb fb fb fb fb

Akta berkaitan AI akan dibentang di Parlimen tahun ini

Datuk Wilson Ugak Kumbong/ BERNAMA

SHAH ALAM, 28 Jun- Kementerian Digital optimis akta berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini dalam usaha mengekang jenayah penipuan.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong menyatakan keyakinan itu susulan kejayaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) digazetkan pada April lalu.

Sekiranya akta itu berjaya digubal, penyalahgunaan teknologi dapat dicegah sekali gus menghalang daripada terus disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya merasakan bahawa akta AI mungkin akan dibentangkan pada tahun ini, ini membolehkan supaya ia memperketatkan lagi undang-undang berkaitan AI.

"Ia akan memainkan peranan menghukum sesiapa sahaja yang secara salah menggunakan teknologi dengan membawa kerosakan kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 di sini hari ini.

Pada masa sama Kementerian Digital juga menggesa orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian supaya segera membuat laporan.

Perkara itu berikutan sindiket penipuan itu semakin licik dan aktif sepanjang masa serta menyasarkan golongan pesara, penjawat awam dan penduduk luar bandar.

Kementerian itu juga sedang melaksanakan kempen kesedaran melalui program Jelajah Jamin Malaysia Digital (JJMD) ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak untuk memberi pendedahan tentang taktik penipuan siber.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI