fb fb fb fb fb

Karnival Al-Falah MADANI, medan penyatuan umat Islam

Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim

KUANTAN, 28 Jun - Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota menjadi medan penyatuan umat, menolak fahaman ekstrem dan menegakkan kefahaman Islam yang menyemai kasih sayang dan kesejahteraan.

Karnival anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas, berlangsung di Masjid Jamek Beserah bersempena Maal Hijrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, lebih 10 ribu penduduk dijangka hadir pada karnival itu yang menyediakan pelbagai aktiviti dengan melibatkan semua lapisan usia bermula kanak-kanak sehingga warga emas.

Ia sekali gus memperkukuhkan lagi peranan masjid sebagai pusat pertemuan ummah, wadah dakwah yang berkesan serta medan pembangunan komuniti Muslim yang dinamik dan progresif.

Antara aktiviti disediakan adalah Qiamullail Perdana bersama Imam Masjid Negara, Solat Subuh macam Jumaat, Tausiah Subuh, santuni komuniti nelayan, Ziarah Musa'adah, sukan rakyat dan jualan rahmah madani.

"Saya sebutkan dalam ucapan saya tadi karnival ini melibatkan semua pihak termasuklah kanak-kanak, kita adakan juga sukaneka untuk kanak-kanak supaya mereka boleh bersukan dan sebagainya.

"Daripada kanak-kanak, remaja sehingga warga emas kita libatkan dalam karnival ini, seperti saya katakan karnival ini memberi ruang dan peluang kepada semua peringkat umur," katanya selepas Majlis perasmian Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota di Beserah, di sini.

Menurut, Datuk Dr Mohd Na'im masyarakat perlu diasuh dengan iman, ibadah dan ilmu, bagi melahirkan komuniti yang damai, berintegriti dan saling mengasihi.

Beliau turut menjadi penonton dalam rakaman Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk Hijrah Insani Teras Negara Madani. Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Tiga ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam antaranya Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin, Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Muhammad Haris (PU Rizz).

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI