fb fb fb fb fb

Kompaun RM12.4 juta terhadap majikan gagal sedia penginapan pekerja

MUAR, 22 Ogos - Sejumlah RM12.4 juta kompaun dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sejak Februari 2020 hingga semalam atas kegagalan majikan menyediakan penginapan dan asrama yang sesuai serta selesa untuk pekerja.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab berkata kompaun itu dikeluarkan menerusi 1,083 kertas siasatan terhadap majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 atau Akta 446.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, 48,579 majikan melibatkan 183,391 penginapan telah diperiksa oleh JTKSM dan hampir 40 peratus atau 19,250 majikan gagal mematuhi akta berkenaan.

Daripada jumlah yang gagal, sebanyak 148 kertas siasatan diteruskan dengan pendakwaan melibatkan denda sebanyak RM1.2 juta.

“Antara alasan yang diberikan majikan adalah sukar mendapat kebenaran pembinaan penginapan dan permohonan telah dilakukan namun belum mendapat kelulusan.

“Kita sebenarnya sedia membantu majikan ini sekiranya mereka mempunyai masalah termasuk berkenaan penginapan pekerja, tetapi mereka (majikan) ini perlu tampil kepada JTKSM dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeriksa dua kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri yang turut disertai Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

(Salah sebuah tempat penginapan pekerja asing yang diserbu pihak berkuasa/FOTO Facebook Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)

Menurut Mohd Asri menerusi operasi yang dilakukan selama dua jam bermula pada 10.30 pagi itu, seramai 528 pekerja telah diperiksa. 

“Difahamkan pekerja di kedua-dua premis ini disediakan penginapan atau asrama jenis binaan batu serta zink, dan kami telah melihat asrama tersebut yang disediakan oleh majikan. 

“Saya difahamkan bahawa penginapan pekerja ini tidak mendapat Perakuan Penginapan daripada JTKSM dan majikan masih belum membuat sebarang permohonan,” katanya.

Katanya enam kertas siasatan telah dibuka JTKSM mengikut Seksyen 24D Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan dan boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM50,000 untuk setiap kesalahan.  - BERNAMA

Media Baharu