fb fb fb fb fb

Hospital sub pakar jantung pertama di zon selatan bakal dibina di Melaka

(Foto Hiasan)

KLEBANG, 22 Ogos- Dua pelabur tempatan telah menyatakan minat untuk melabur sehingga RM200 juta di Melaka bagi pembinaan Hospital Sub Pakar Jantung pertama di zon selatan semenanjung Malaysia.

Perkara itu dikongsikan Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhammad Akmal Salleh.

Jelas beliau, perbincangan lanjut mengenai pembinaan hospital yang memberi fokus dalam bidang kardiologi itu akan dilaksana kerajaan negeri bersama pelabur dalam masa terdekat.

Jika segalanya berjalan lancar, tempoh empat tahun dijangka diperlukan untuk proses perancangan dan pembinaan Pusat Cardiac Vascular Sentral (CVS) berkenaan.

“Jadi insya-Allah dengan inisiatif ini maka kita boleh jadi hub, pesakit-pesakit jantung dari Melaka dan Johor tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

"Mereka boleh dapatkan rawatan di Melaka. Kita jangka dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, hospital ini akan boleh beroperasi,” kata Dr Muhammad Akmal.

Menurutnya, lokasi pembinaan hospital tersebut dicadangkan sekitar Ayer Keroh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Care for Your heart di Klebang.

Tambah beliau, dengan pembinaan hospital kerjasama kerajaan negeri dan pihak swasta itu nanti akan dapat menyelesaikan isu jangka masa menunggu janji temu yang terlalu lama dalam kalangan pesakit jantung di Melaka.


(Dr Muhammad Akmal Salleh menghadiri Kempen Care for Your heart di Klebang)

Media Baharu